Artikel sebelum ini ( http://bit.ly/2iKtweN ) mengulas mengenai logik manusia menolak bahawa Tuhan tidak boleh berimej. Ini kerana apabila seseorang mahu mengimejkan tuhan ia akan menggunakan imaginasinya. Suatu perkara perlu diketahui bahawa imaginasi manusia ini adalah terhad kepada bentuk yang mereka pernah lihat sahaja dan manusia tidak dapat berimaginasi kepada bentuk yang luar dari bentuk makhluk di dunia.

Lihat sahaja berlaku kepada sebahagian agama yang mengimejkan tuhan mereka seperti agama Hindu, Kristian, Dewa-dewi Jepun, Yunani, tuhan-tuhan Mesir dan lain-lain. Jika manusia mula memberi imej kepada tuhan, maka ia tidak boleh dielakkan dengan bentuk imej manusia. Mereka hanya dapat menambah bentuk gabungan haiwan seperti sayap, kepala haiwan dan seumpamanya bagi menunjukkan ‘bentuk kekuasaan’ bagi membezakan manusia dan tuhan. Begitulah terhadnya imaginasi manusia. Sesungguhnya manusia tidak boleh melukis sesuatu bentuk yang tidak ada kaitan dengan dunia ini yang di luar imaginasi mereka.

Sebagai contoh, sekiranya dilihat di dalam cerita atau filem mengenai makhluk asing, rata-rata pelukis akan memberi bentuk makhluk asing itu tidak jauh dengan sifat manusia seperti ada kaki, ada mata, ada mulut, ada badan dan lain-lain. Persoalannya mengapa manusia tidak boleh membuat suatu watak makhluk asing yang tidak ada kaitan dengan sifat dan bentuk makhluk bumi? Mengapa makhluk asing itu perlu ada mulut seperti mulut makhluk bumi? Mengapa perlu ada mata seperti makhluk bumi? Sekiranya ingin menggambarkan sesuatu makhluk di luar angkasa yang tidak ada kaitan dengan makhluk bumi harus mengapa tidak boleh mencipta suatu watak yang tidak ada ciri-ciri dengan makhluk bumi? Ini kerana imaginasi dan fikiran manusia itu terhad. Manusia tidak boleh mencapai khayalan sesuatu yang diluar jangkauannya.

Sebab itu apabila manusia memberi imej kepada Tuhan, ia akan memberi bentuk manusia. Ini kerana manusia secara fitrahnya memahami bahawa bentuk manusia adalah bentuk yang paling baik dan mulia berbanding dengan bentuk binatang dan tumbuhan. Lalu dapat dilihat pada hari ini watak-watak tuhan dan para dewa yang tidak terlepas dari watak (figure) manusia.

Oleh kerana imaginasi manusia itu terhad. Mereka mula memahami Tuhan itu seperti manusia, lalu mereka tidak dapat memisahkan jurang perbezaan di manakah sifat Tuhan yang sebenar. Sekira dikatakan Tuhan itu Maha Perkasa sudah tentu ia tidak lemah. Akan tetapi sekiranya tuhan itu dibentukkan seperti manusia maka sifat lemah sebagai seorang manusia itu tetap terpalit kepada ‘tuhan’ tersebut. Sebagai contoh, lihatlah di dalam agama Kristian, apabila manusia dianggap sebagai anak Tuhan itu mati di kayu salib, manakala dalam agama Mesir yang menceritakan mata Horus dirampas oleh Set dan mata Horus buta sebelah, begitu juga di dalam agama Hindu mengatakan Brahma disumpah tidak memiliki penyembah (kuil) oleh tuhan Siva dan bermacam lagi. Sikap lemah tuhan ini berlaku apabila manusia memanifestasikan tuhan itu ke dalam bentuk manusia. Hakikat sebenar Tuhan tidak sedemikian.

Tuhan Mati

Manusia sifatnya terhad. Hidupnya bermula dan akan berakhir. Apabila tuhan itu dianggap terlahir dalam bentuk manusia maka ia akan turut terpalit dengan fahaman tuhan itu perlu mati. Sepertimana di dalam kepercayaan Kristian mereka beranggapan Jesus itu mati di kayu salib:

“Lalu Yesus berseru dengan suara yang nyaring: “Ya Bapa, ke dalam tanganmu kuserahkan nyawa-Ku” Dan sesudah berkata demikian ia menyerahkan nyawa-Nya” (Lukas 23: 46)

Sedangkan sifat Tuhan itu adalah Maha Hidup dan tidak ada sebarang kelemahan kepadanNya.

Tuhan Bergantung Kepada Makhluk Lain

Sifat manusia adalah saling bergantung antara satu sama lain. Apabila tuhan dibentukkan dengan imej manusia maka kelemahan ini juga turut terpalit kepada tuhan. Sebagai contoh di dalam kitab agama Hindu, kitab Varaha Purana menceritakan dalam bab Navami:

“Vetravati berkahwin dengan Vrtra dan lahirlah Vetrasura. Vetrasura menjadi musuh yang sangat tangguh bagi para dewa. Raksaksa tersebut mengawali sebagai penguasa Pragjyotisapura (di Assam), kemudian menaklukkan seluruh dunia. Ia menyerang para dewa dan mengusir mereka dari syurga. Para dewa menghadap Siva, dan Siva menyedari bahawa Vetrasura tak dapat dibunuh. Siva tak dapat membunuhnya. Siva kemudian membawa para dewa menghadap Brahma.

Pada saat itu, Brahma sedang duduk dipinggir sungai Ganga dan mengumandangkan mantra Gayatri (doa yang sangat suci). Ia lupa akan sekitarnya sehingga ia tidak memperhatikan kedatangan Siva dan dewa-dewa lainnya. Akan tetapi, seorang dewi yang bernama Gayatri muncul dengan tiba-tiba. Dewi tersebut memiliki lapan tangan dengan membawa berbagai jenis senjata. Ia mengenakan sari putih. Dewi Gayatri berperang melawan para raksaksa dan membunuh Vetrasura. Siva memuliakan pujian kepadannya.” (IGA Dewi Paramita, Varaha Purana: 2002: 51-52)

tuhan pemusnah juga memerlukan bantuan dari orang lain untuk melawan seekor makhluk ganas (Vetrasura). Sifat Tuhan sebenar adalah hendaklah bersih daripada segala kekurangan dan tidak bergantung kepada apa-apa sekalipun.

Tuhan Maha Mengetahui

Sekiranya tuhan dibentuk dalam imej manusia maka kelemahan manusia yang memiliki pengetahuan yang terhad juga terpalit sama. Sebagai contoh di dalam kitab Brahmavaivarta Purana menceritakan mengenai tuhan Siva pula:

“Pada suatu waktu, Siva senang memberikan anugerah tanpa pensyaratan yang berat. Beliau bahkan berkhayal bahawa beliau adalah dewa yang tertinggi, teragung. Pada suatu saat seorang asura yang melakukan tapaberata memohon pada Siva, “mohon berikan hamba anugerah sebagai berikut. Bilamana tangan hamba diletakkan pada kepala seseorang maka orang itu akan hancur menjadi abu.”

Tanpa menyedari niat jahat sang asura, Siva dengan senang hati memberikan anugerah itu kepadanya. Maka Vrka mulai ingin menguji kekuatan berkah yang diberikan oleh Siva pada Siva sendiri. Siva kemudian lari ke sana ke mari untuk menghindari Vrka yang terus mengejarnya ke manapun beliau pergi. Dan dalam keadaan berputus asa beliau akhirnya meminta pertolongan pada Visnu. Untuk menyelamatkan Siva maka Visnu kemudian berkata pada Vrka, “Bagaimana kau boleh mempercayai seorang pembohong seperti Siva itu? Sebenarnya dia sama sekali tidak memberikanmu anugerah apapun. Mengapa kau tidak menaruh tanganmu di atas kepalamu untuk menguji apakah ia benar-benar memberimu anugerah itu. Tidak akan terjadi apa-apa padamu.”
Kerana kebodohannya maka Vrka melakukan hal itu dan saat itu juga ia terbakar menjadi abu. Sedangkan Siva yang merasa malu langsung menyanyikan keagungang Visnu.” (I Wayan Maswinara, Brahmavaivarta Purana: 2001: 85-86)

Tuhan yang sebenar adalah yang Maha Mengetahui apa yang akan berlaku dan apa yang telah berlaku. Malah segala apa yang ada di dalam isi makhluk alam ini tidak terlepas daripada pengetahuan Tuhan.

Sebab itu adalah dilarang untuk manusia mencipta atau melukis bentuk Tuhan. Ini kerana Tuhan itu tidak serupa dengan apa yang ada di dunia ini. Sekiranya dibenarkan untuk mewajahkan tuhan, nescaya sifat tuhan itu akan terpalit dengan kelemahan bentuk makhluk yang disandarkan kepadaNya. Tuhan itu haruslah tidak memiliki imej yang boleh disamakan dengan makhluknya yang memiliki sifat lemah. Sesuai apa yang Allah khabarkan di dalam al Quran:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ اللَّهُ الصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ ﴿٤﴾

“Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.” (Surah al Ikhlas: 1-4)

Wallahua’lam.

Kenapa Tuhan Tidak Boleh Berimej?

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>