Di dalam Islam solat adalah salah satu rukun yang penting. Ia adalah suatu ibadah yang perlu dilakukan oleh umat Islam untuk menyembah Allah. Persoalannya adalah mengapa harus solat?
Apabila bertanya mengenai mengapa perlu solat maka hakikatnya (asbab) itu perlu disandarkan kepada Allah. Allah yang memerintahkan untuk solat. Sepertimana firman Allah SWT di dalam al Quran yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, rukuk dan bersujudlah kamu serta beribadahlah kamu kepada Tuhanmu…”
(Surah Al Hajj 22:77)

Mengenai ayat ini, hendaklah melihat kepada cara Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wa Salam bersolat seperti sepertimana sabda Baginda dalam dalam hadis sahih:

وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

“Solatlah kamu sepertimana kalian melihat aku solat”
[HR Bukhari, No 6008]

Muslim bermaksud seseorang yang tunduk dan patuh serta menyerahkan kehendaknya kepada kepada perintah Allah SWT sebagai Pencipta langit dan bumi serta segala isinya. Maka sebagai seorang Muslim yang tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah, maka adalah menjadi kewajipan muslim untuk patuh dan tunduk kepada segala suruhanNya.

Analoginya seperti situasi seseorang yang bekerja di sebuah syarikat. Di dalam syarikat itu akan ada kod etika yang telah digariskan dan menjadi panduan kepada pekerja antara perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Apabila majikan mengarahkan untuk menyiapkan sesuatu kerja kepada pekerjanya maka pekerjanya hendaklah mengikut perintah majikannya.

Sekiranya ditanya kepada pekerja tersebut, kenapa mereka buat demikian (kerjanya)? Sudah tentu dia akan menjawab itu adalah perintah majikan. Jikalau ditanya lebih lanjut, mengapakah perintah majikan mesti dipatuhi, maka jawapan mereka kerana majikan membayar gaji mereka.

Situasi yang hampir sama untuk memahami arahan dan suruhan Tuhan kita untuk hambanya supaya beribadat. Selagikan majikan menyuruh untuk membuat kerja, kita dapat memahami tuntutan untuk patuh kepadanya, inikan pula Allah SWT yang merupakan satu-satunya Tuhan alam semesta memberi suruhan kepada kita, lagilah kena patuh.

FITRAH MENYEMBAH TUHAN

Solat itu pula hendaklah dilakukan berdasarkan kepada sumber wahyu iaitu al Quran dan Hadis. Sebenarnya, di dalam diri manusia yang bertuhan akan memiliki perasaan mengenai ‘fitrah sembahyang’ dan fitrah ini wujud di dalam diri manusia. Apabila dilihat kepada masyarakat dunia yang beragama pada hari ini. Mereka secara fitrahnya akan ada perasaan untuk bergantung kepada kuasa yang kuat iaitu Tuhan. Setiap mereka akan memiliki ibadat khusus untuk menyembah tuhan-tuhan mereka.

Seperti di dalam agama Hindu memiliki ritual sembahyangnya, agama Buddha Mahayana juga memiliki ritual tersendiri, begitu juga dengan agama Taoisme, Kristian, Yahudi, Baha’I, Cheondoisme, dan lain-lain. Masing-masing memiliki ritual ibadat tersendiri. Agak mustahil untuk ditemui seseorang yang kuat beragama (yakin akan kewujudan Tuhan) tiba-tiba hidupnya berlalu tanpa melakukan penyembahan kepada Tuhan yang diyakininya itu.

Mesejnya adalah, tanda seseorang manusia itu taat kepada Tuhan yang diyakini adalah melaksanakan perintah Tuhan. Ini kerana, perbuatan untuk melakukan ritual atau sembahyang kepada Tuhan adalah salah satu fitrah manusia untuk memanifestasikan ketaatan kepada Tuhan. Oleh kerana manusia dapat merasakan akan kewujudan Tuhan yang menciptakannya maka fitrah untuk menyembahNya juga hadir bersama.

Sebab itu, apabila Allah memberi fitrah ini kepada manusia, Allah SWT juga menurunkan syariat dan cara untuk menyembahNya melalui jalan rasul-rasulnya. Hanya tinggal kepada manusia untuk berfikir dan mencari jalan ini siapakah Rasul yang diutuskan dan cara menyembahNya.

Ibadat solat ini selain daripada perintah Allah, ia merupakan kehendak fitrah diri manusia. Sebab itu jika dilihat orang asal di dalam hutan sekalipun mereka akan tetap memiliki ritual sembahyang kepada semangat. Malah pada hari ini juga manusia akan mencari pelbagai jalan untuk melakukan ibadat kepada tuhan mereka samada dengan melakukan korban haiwan dan dicampak dagingnya ke laut atau gua.

Adakalanya dilakukan juga perjamuan makanan, perasapkan kemenyan atau colok, dan juga menyanyi dan menari serta pelbagai cara lagi. Dengan cara itu mereka beralasan Tuhan memberkahi cara mereka. Jika ditanya mereka, dimanakah sumbernya cara sembahyang mereka itu?

ADAKAH IANYA DIAJAR DI DALAM KITAB SUCI UTAMA MEREKA?

Kebanyakkan mereka akan menjawab, mereka kurang pasti atau tidak tahu malahan akan ada yang menjawab sememangnya tidak diajar begitu dan ia adalah amalan nenek moyang mereka. Persoalannya adalah, menyembah Tuhan mengikut kehendak Tuhan atau kehendak nenek moyang? Allah menceritakan di dalam al Quran:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَىٰ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ قَالُوا حَسْبُنَا مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۚ أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ
“Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul”. Mereka menjawab: “Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapak-bapak kami mengerjakannya”. Dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?”
(Surah al Maidah 5:104)

Mereka beribadat dengan cara mereka (cara nenek moyang) dan mereka akan menjawab, perbuatan ini adalah baik, mana mungkin tuhan murka kalau benda baik malahan ada yang akan mengatakan benda baik apa salahnya. Sedangkan, Tuhan telah menurunkan cara untuk manusia beribadat kepadaNya, akan tetapi manusia memilih untuk meningkari dan mengubah-ubahnya perintah yang mudah dari Tuhan.

SYARIAT SOLAT PARA RASUL

Setiap rasul yang diutuskan oleh Allah akan membawa syariat ibadat untuk menyembahNya. Sebahagian ulama berpandangan, di dalam sepanjang sejarah solat yang Allah turunkan kepada nabi dan rasul terdapat sedikit perbezaan dari sudut tatacara dan rukun perbuatan, ada yang diperintahkan duduk untuk bersolat dan ada yang diperintahkan berdiri. Akan tetapi mereka semua memiliki persamaan dalam satu rukun yang utama dalam solat iaitu SUJUD. Di dalam al Quran, Allah SWT berfirman;

“Maka bersujudlah kamu kepada Allah dan beribadahlah kamu (kepada-Nya)”
(Surah An-Najm: 62)

Di dalam Perjanjian Lama dan Baru menceritakan kisah nabi-nabi solat dengan sujud:

NABI IBRAHIM SUJUD;
“Lalu sujudlah Abram, dan Allah berfirman kepadanya:”
(Kejadian 17:3)

“Kemudian berlututlah aku dan sujud menyembah TUHAN, serta memuji TUHAN, Allah tuanku Abraham,”
(Kejadian 24:48),

NABI MUSA SUJUD;
“Segeralah Musa berlutut ke tanah lalu sujud menyembah” (Keluaran 34: 8).

JESUS SUJUD;
“Yesus maju sedikit, lalu sujud dan berdoa”
(Matius 26: 39).

Ibadat solat ini adalah ibadat yang dilakukan oleh umat Islam dan juga nabi-nabi terdahulu melalui perintah Allah SWT dari zaman berzaman tanda ketaatan kepada perintah Allah Yang Maha Esa.

Wallahua’lam

Disediakan oleh R & D MRM

Fitrah Perlu Beragama Siri 5 (Kenapa Perlu Solat?)

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>