Selain dari muslim, kaum bani Israel, Yahudi dan Kristian mereka juga beriman kepada nabi Musa dan Harun a.s. Di dalam kitab mereka terakam panjang kisah perjalanan dua rasul ini.

Jika diperhatikan di dalam al Quran mengenai salah satu peristiwa penting dalam sejarah nabi Musa, terdapat satu nama yang disebutkan secara jelas iaitu Samiri. Persoalannya, mengapa al Quran menyebut nama Samiri? Pentingkah watak Samiri berbanding dengan tokoh lain sehingga al Quran menyebutnya secara jelas?

Salah satu hikmah Allah menyebut nama Samiri di dalam al Quran adalah disebabkan terdapat kesalahan fakta di dalam kitab Bible (Buku Kejadian) mengenai peristiwa ini. al Quran memperbaiki fakta di dalam Bible mengenai tuduhan Bible terhadap nabi Harun a.s. Di dalam Bible mengatakan nabi Harun membuat patung lembu dan menyuruh untuk menyembahnya:

“Ketika bangsa itu melihat, bahawa Musa mengundur-undur turun dari gunung itu, maka berkumpulah mereka mengerumuni Harun dan berkata kepadanya: “Mari, buatlah untuk kami tuhan, yang akan berjalan di depan kami sebab Musa ini, orang yang telah memimpin kami keluar dari tanah Mesir. kami tidak tahu apa yang telah terjadi dengan dia. Lalu berkatalah Harun kepada mereka: “Tanggalkanlah anting-anting emas yang ada pada telinga isterimu, anak lelaki dan perempuan, dan bawalah semuanya kepadaku.”

“Lalu seluruh bangsa itu menanggalkan anting-anting emas yang ada pada telinga mereka dan membawanya kepada Harun. Diterimanyalah itu dari tangan mereka, dibentuknya dengan pahat, dan dibuatnyalah dari padanya anak lembu tuangan. Kemudian berkatalah mereka: “Hai Israel, inilah tuhanmu, yang telah menuntun engkau keluar dari tanah Mesir! Ketika Harun melihat itu, didirikan mezbah di depan anak lembu itu. Berserulah Harun, katanya: “Besok hari raya bagi tuhan.” (Keluaran 32:1-5)

Apabila Bible menuduh nabi Harun a.s mengukir patung lembu emas, maka al Quran datang memperbetulkan fakta ini dengan menceritakan mengenai situasi yang sama, ketika nabi Musa turun dari bukit Thur Sina, berlaku penyesatan dari kaum bani Israel, firman Allah yang bermaksud:

“Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka (dari lubang itu) anak lembu yang bertubuh dan bersuara, Maka mereka berkata: “Inilah Tuhanmu dan Tuhan Musa, tetapi Musa Telah lupa”. Maka apakah mereka tidak memperhatikan bahawa patung anak lembu itu tidak dapat memberi jawapan kepada mereka, dan tidak dapat memberi kemudharatan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan? Dan Sesungguhnya Harun Telah Berkata kepada mereka sebelumnya: “Hai kaumku, Sesungguhnya kamu Hanya diberi cubaan dengan anak lembu. itu dan Sesungguhnya Tuhanmu ialah (Tuhan) yang Maha pemurah, Maka ikutilah Aku dan taatilah perintahku”. Mereka menjawab: “Kami akan tetap menyembah patung anak lembu ini, hingga Musa kembali kepada kami”. (Surah Taha 20: 88-91)

Di dalam al Quran Allah memperbetulkan fakta bahawa Samiri yang mengukir patung lembu untuk disembah dan bukan nabi Harun. Oleh kerana perkara ini melibatkan soal aqidah dan tuduhan terhadap rasul melakukan syirik, maka Islam sangat sensitif mengenainya, ini antara salah satu hikmah Allah menyebut nama Samiri secara jelas bagi menafikan perbuatan itu dilakukan oleh nabi Harun. Inilah salah satu manifestasi mengenai al Quran datang membenarkan dan memperbetulkan fakta di dalam kitab terdahulu.

Ini juga merupakan salah satu bukti bahawa kitab ini (al Quran) diturunkan oleh Tuhan yang sama menurunkan wahyu kepada Musa dan juga Isa. Allah menceritakan semula situasi sebenar yang berlaku pada ketika itu di dalam al Quran. Firman Allah yang bermaksud:

“Dia menurunkan Al Kitab (Al Quran) kepadamu dengan Sebenarnya; membenarkan Kitab yang Telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil. (Surah Ali Imran: 3)

Inti al Quran membenarkan sebahagian kenyataan di dalam kitab Injil dan Taurat yang diimani oleh Kristian dan Yahudi. Jika dibaca kitab al Quran nescaya seorang sejarawan akan hairan bagaimana nabi Muhammad SAW dapat mengetahui kisah-kisah terdahulu yang dirakamkan oleh Bible. Ini kerana di awal hayatnya, baginda tidak dapat membaca dan menulis. Malah tidak dirakamkan bahawa baginda melakukan kajian atau membaca kitab Injil dan Taurat milik orang Nasrani dan Yahudi. Ini menujukkan bahawa ia merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah. Inti al Quran juga membenarkan sebahagian inti dalam kitab terdahulu dan memperbaiki fakta yang diseleweng oleh tangan-tangan kaum terdahulu.

Wallahua’lam.

Nabi Harun Mengukir Tuhan Patung Lembu Emas?

| Popular | 0 Comments
About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>