Sekiranya kita berjalan melihat dunia dan berfikir, pasti di setiap tempat yang dilalui itu tidak akan berlalu dengan adanya sesebuah kepercayaan di dalam sesebuah masyarakat. Tidak kira apa nama ajaran mereka samada Hindu, Kristian, Buddha, Yahudi, Zoroaster, Taoisme, Shinto, Asatru, Rastafarian, Candomble, Macumba, Santeria, Kumina, Mandaen, Animisme, Shamanisme, dan banyak lagi. Kesemuanya mempercayai bahawa wujudnya tuhan dan di dalam setiap kepercayaan akan memiliki ritual untuk menyembahnya.

Persoalannya mengapa manusia ini mahu menyembah Tuhan? Bermula sejak dari zaman awal tamadun manusia (Mesopotamia) mereka sudah ada Ziggurat untuk menyembah dewa-dewi seperti Enlil, Marduk, Anu sehinggalah pada hari ini menunjukkan bahawa sikap mahu menyembah Tuhan itu sentiasa wujud dalam diri manusia.

Seperti disebut oleh Stephen Fuchs S. V.D. dalam bukunya Origin of Religion yang bermaksud: “Tidak ada puak atau manusia di dunia ini walau mundur sekalipun mereka atau tingginya tamadun mereka yang tidak mempunyai kepercayaan kewujudan yang maha berkuasa atau Tuhan, tanpa apa-apa kepercayaan agama”

Sikap mahu menyembah kepada Tuhan itu adalah fitrah yang sudah disebatikan di dalam diri setiap manusia. Apakah setiap agama ada jawapan kepada persoalan “Mengapa setiap manusia wujud perasaan ingin menyembah Tuhan?”

Sesungguhnya di dalam Islam, Allah menjawab persoalan ini di dalam al Quran yang bermaksud:

“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah-Ku”. (QS. Adz Dzariyat: 56).

“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)” (Surah Al-A’raf: 172)

Tujuan penciptaan manusia adalah untuk menyembah Allah. Apabila bercakap soal TUJUAN penciptaan, maka kita dapat memahami sebagaimana seseorang mencipta sebuah mesin atau robot untuk berkerja kepada manusia di atas tujuan (program) yang telah ditetapkan. Maka mesin itu akan tetap beroperasi di atas prinsip tersebut. Begitu juga dengan diri manusia yang dicipta di atas tujuan penyembahan kepada Allah.

Oleh kerana itu TUJUAN utama manusia dicipta maka fitrah kebertuhanan itu sudah ditanam di dalam diri manusia. Sepertimana seorang lelaki tertarik dengan wanita dan sebaliknya, siapakah yang mengajar ‘tarikan’ itu kepada manusia? Malah semua manusia memahami untuk merealisasikan perasaan cinta dan tarikan antara satu sama lain itu hendaklah mereka berkahwin. Lihat sahaja di dalam Hindu, Kristian, Yahudi, hatta agama-agama di pendalaman seperti orang asli juga turut memahami tuntutan untuk berkahwin. Siapakah yang mengajar untuk manusia berkahwin? Itulah fitrah.

Begitu juga dengan agama, oleh kerana manusia itu percaya kepada wujudnya Tuhan maka cara untuk merealisasikan sifat kebertuhanan itu hendaklah perlu beragama. Oleh itu Allah juga menurunkan agamaNya untuk manusia iaitu Islam. Dari awal kejadian manusia sehinggalah sekarang, agama ini sentiasa berjalan di dalam diri hamba-hambanya yang mengenalNya. Satu-satunya agama yang diturunkan Allah ialah Islam sepertimana firmanNya:

وَ مَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِيْنًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَ هُوَ فِي الْأخِرَةِ مِنَ الْخسِرِيْنَ
“Dan siapa yang mencari agama selain Islam, dia tidak akan diterima, dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang merugi.” (Surah Ali Imran: 85)

Akan tetapi oleh kerana manusia itu memiliki hawa nafsu dan juga ujian dari iblis maka setiap ajaran yang sampai kepada mereka sering kali diubah mengikut kehendak mereka. Mereka dihasut untuk merumitkan memahami Tuhan yang tidak berupa dengan pengwajahan tuhan. Lihat bagaimana berlaku kepada umat nabi Nuh, apabila setelah kematian orang-orang soleh, mereka membuat patung dan menyembah mereka. Seperti firman Allah yang bermaksud:

“Dan mereka berkata: “Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwwa’, yaghuts, ya’uq dan nasr”. (Surah Nuh: 23)

Tabiat sebegini telah mewujudkan agama-agama baru (sembahan tuhan yang pelbagai) yang bercanggah dengan agama yang diturunkan oleh Tuhan kepada mereka melalui para rasul terdahulu. Kesimpulan yang paling penting adalah:

1) Tuhan mencipta fitrah kebertuhanan di dalam diri manusia,
2) Tuhan juga menurunkan agama kepada manusia
3) Manusia diuji dengan hawa nafsu dan juga hasutan syaitan
4) Manusia mengubah ajaran para nabi mengikut kepentingan diri mereka
5) Perkara itu menyebabkan wujudnya banyak agama baru, disamping fitrah utama itu menyembah Tuhan sentiasa ada.
6) Manusia hendaklah terus mencari kebenaran

Wallahua’lam

Fitrah Manusia Perlu Beragama Siri 1

| Artikel, Uncategorized | 0 Comments
About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>