Di dalam setiap agama di dunia ini pasti akan ada konsep manusia wakil Tuhan. Lihatlah samada di dalam Yahudi, Kristian dan Islam kesemua beriman bahawa Allah mengutuskan para rasulNya untuk menyampaikan ajaranNya kepada manusia. Di dalam Buddha pula, masyarakat Buddhis percaya bahawa Buddha adalah orang yang mendapat pencerahan atau cahaya. Malah mereka juga percaya Buddha itu adalah guru yang memimpin manusia dan jumlah mereka adalah ramai. Mereka juga percaya kepada akan lahirnya orang yang akan memimpin akhir zaman bernama Buddha Maitreya. Di dalam Jainisme pula mereka percaya kepada konsep Tirthankaras yang memiliki 24 orang yang membimbing manusia dan salah satunya adalah Mahavira. Dalam Hindu pula konsepnya sedikit berlainan, kerana mereka percaya tuhan akan menjelma dalam bentuk manusia dari zaman ke zaman yang dikenali sebagai avatar (inkarnasi) untuk memperbaiki Dharma (ajaran).

Begitu juga di dalam kepercayaan orang asal di dalam hutan sekalipun mereka akan bergantung kepada tok Batin dan juga pawang untuk memandu hidup mereka. Ini kerana mereka dianggap orang istimewa yang boleh berhubung dengan dengan kuasa ghaib atau semangat. Sama juga dengan Ayah Pin menghimpun pengikut melalui dakwaan wakil kerajaan langit dan dapat berhubung terus dengan tuhan lalu membawa ajarannya tersendiri. Begitu juga dalam kepercayaan agama lain turut memiliki konsep ini.

Oleh kerana manusia percaya bahawa terdapat Tuhan yang mencipta dunia ini maka salah satu manifestasi mereka untuk memahami Tuhan adalah memerlukan orang yang istimewa yang menceritakan kepada tentang Tuhan. Ini kerana manusia memahami tuntutan dirinya tidak mampu untuk memahami Tuhan melainkan bergantung kepada khabar dari ‘wakil Tuhan’. Sebab itu Allah menurunkan para rasulnya untuk membimbing manusia melalui wahyu. Manakala rasul-rasul tersebut memiliki kriteria tertentu seperti sikap amanah, fatonah, tabligh, dan siddiq. Rasul juga memiliki tanda-tanda seperti mukjizat bagi membuktikan bahawa meraka adalah utusan Tuhan dan ajaran mereka sering berkesinambungan serta tidak bercanggah di antara satu sama lain. Kesemua mereka adalah membawa satu ajaran yang sama mengenai Tuhan terutama dalam memperkenalkan bahawa Tuhan itu Maha Esa (monotheisme). Firman Allah di dalam al Quran yang bermaksud:

“Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu” (Yassin: 14)

“Dan semua umat diutuskan rasul untuk mentaati Allah dan menjauhi taghut (berhala, syirik).” (An Nahl: 36)

Di mana ada tamadun maka di situ ada rasul. Di kalanganya ada diceritakan di dalam al Quran dan ada dikalangan mereka tidak diceritakan, firman Allah:

وَرُسُلًا قَدْ قَصَصْنَاهُمْ عَلَيْكَ مِنْ قَبْلُ وَرُسُلًا لَمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ ۚ وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًا
“Dan (Kami telah mengutus) rasul-rasul yang sungguh telah Kami kisahkan tentang mereka kepadamu dahulu, dan rasul-rasul yang tidak Kami kisahkan tentang mereka kepadamu. Dan Allah telah berbicara kepada Musa dengan langsung.” (Surah an Nisa: 164)

Para rasul membawa mesej yang sama iaitu membawa aqidah tauhid. Malah terdapat hipotesis yang menjelas setiap ajaran asas di dalam kitab agama Hindu, Yahudi, Kristian, Zoroaster, dan Mandaen (Sabean) memiliki unsur tauhid yang dibawa oleh para rasul Tuhan. Akan tetapi ajaran mereka menyeleweng dari ajaran rasul mereka sehingga mewujudkan method dan ritual beragama yang tersendiri.

Asasnya manusia tidak dapat membuat sesebuah ajaran atau agama tanpa bantuan dari wakil Tuhan. Kewujudan agama-agama yang menyimpang dari ajaran Allah adalah hasil daripada gubahan yang ditokok tambah dan diubah dari wahyu. Sebab itu terdapat persamaan di antara amalan di dalam setiap agama. Buktinya akan dibincangkan di dalam artikel yang akan datang.

Kesimpulannya, manusia memahami bahawa untuk mereka mamahami Tuhan hendaklah melalui dari wakil Tuhan yang akan membimbing mereka. Dan itu merupakan fitrah manusia dalam beragama.

Wallahua’lam.

Fitrah Manusia Perlu Beragama Siri 2

| Artikel, Uncategorized | 0 Comments
About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>