Di dunia ini memiliki pelbagai agama, jika dihimpunkan semua agama dan kalta (cult: agama baru) di seluruh dunia ini, mungkin sahaja jumlahnya melebihi ratusan. Antara perkara menarik yang boleh diperhatikan di dalam setiap agama yang ada di dunia ini pasti mereka akan memiliki kitab suci. Sebagai contoh Hindu memiliki kitab Vedas dan Upanishad, Kristian memiliki Bible, Buddha memiliki Tripitaka, Islam memiliki al Quran, Yahudi memiliki Tanakh dan Talmud, Zoroaster memiliki Zend Avesta, Mandaean memiliki Ginza Rabba, Sikh memiliki Sri Guru Granth Sahib, Taoisme memiliki Dao De Ching, Konfusianisme memiliki The Analects dan I Ching, Druze memiliki al Hikma, Baha’i memiliki I-Aqdas dan I-Iqan, Jeung San Do memiliki Dojeon dan terlalu banyak lagi sekiranya mahu disenaraikan.

Yang penting adalah setiap agama memiliki kitab suci. Persoalannya adalah mengapa manusia yang beragama memiliki kepercayaan kepada kitab suci untuknya beragama? Siapakah yang mengajar manusia apabila beragama perlu merujuk kepada kitab suci? Hatta di dalam agama Buddha, diketahui bahawa Siddhrata Gautama Buddha tidak membawa konsep jelas mengenai Tuhan dan beliau juga tidak pernah mendakwa mendapat kitab suci daripada Tuhan. Akan tetapi selepas kematiannya, pengikut yang setia antaranya adalah Ananda dan Upali menghimpun semula ajarannya untuk dibukukan dan diikuti oleh pengikut yang lain. Pada zaman Raja Asoka segala ajaran Buddha dan penambahan terhadap ajaran itu akhirnya dibukukan lalu dinamakan Tripitaka. Lalu Tripitaka ini dianggap sebagai kitab suci walaupun tidak ada dakwaan di dalam itu ia datang dari Tuhan.

Ini kerana, manusia memahami tuntutan beragama dengan memerlukan kitab suci sebagai panduan beragama. Ini juga merupakan fitrah manusia dalam beragama. Apabila seseorang manusia menyembah Tuhan, dan percaya kepada wakil Tuhan, maka secara automatik cara untuk ia memahami Tuhan dan ajarannya adalah berdasarkan kepada kitab suci. Seperti analogi sebuah syarikat kereta yang mencipta model-model kereta, ia akan memberi buku manual pengguna kepada pemilik untuk rujukan terhadap kereta tersebut. Sedemikian juga Tuhan yang mencipta manusia, sudah semestinya akan menurunkan buku manual pengguna iaitu kitab untuk membimbing manusia.

Antara hikmahnya, Allah merai tuntutan fitrah ini dengan menurunkan kitab dan suhuf kepada para rasulnya terdahulu sepertimana nabi Ibrahim menerima suhuf, Musa menerima Taurat, Daud menerima Zabur, Isa menerima Injil dan nabi Muhammad SAW menerima al Quran. Bukti kesemua kitab ini diturunkan oleh Allah adalah boleh dilihat di dalam inti perbincangannya, yang mana diantaranya memiliki perkaitan di antara satu sama lain, seperti mentauhidkan Allah, memiliki syariat seperti berpuasa, larangan makan babi, larangan minum arak, larangan judi, berzina dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud:


“Dia menurunkan Al Kitab (Al Quran) kepadamu dengan Sebenarnya; membenarkan Kitab yang Telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil.” (Surah Ali Imran: 3)



Malah di dalam kitab-kitab ini juga memiliki pengkhabaran mengenai rasul akhir zaman iaitu nabi Muhammad SAW. Begitu juga nabi Muhammad SAW mengakui akan hubungan para rasul terdahulu sepertimana sabdanya:

َوْلَى النَّاسِ بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ فِى الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، وَالأَنْبِيَاءُ إِخْوَةٌ لِعَلاَّتٍ ، أُمَّهَاتُهُمْ شَتَّى ، وَدِينُهُمْ وَاحِدٌ

“Aku adalah orang yang paling dekat dan paling mencintai Isa bin Maryam di dunia mahu pun di akhirat. Para nabi itu adalah saudara seayah walau ibu mereka berlainan, dan agama mereka adalah satu.” (HR. Bukhari no. 3443 dan Muslim no. 2365)

Ini antara bukti bahawa nabi Muhammad dan nabi terdahulu memiliki hubungan yang erat dan mereka semua adalah wakil Tuhan yang sebenar. Kepada merekalah kitab-kitab suci diturunkan.

Selain itu juga perkara yang paling asas dan paling penting ialah, manusia hendaklah perlu memastikan bahawa kitab tersebut tulen dan bebas daripada kesilapan dan percanggahan. Sekiranya ia memiliki percanggahan maka ia bukan dari Tuhan. Sepertimana disebut dalam al-Quran yang bermaksud:


“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (An Nisa’ 4: 82)

Tuhan juga sebut bahawa Dia akan menjaga keaslian Al-Quran dari berlaku kesilapan, percanggahan dan perubahan sehingga dunia ini menemui pengakhirannya. Firman yang bermaksud:

”Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Al Hijr 15:9)

Tuhan berfirman demikian adalah disebabkan wujudnya penyelewengan dan perubahan terhadap kitab-kitab terdahulu sebelum al Quran. Disebut dalam Al-Quran yang bermaksud:


“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.” (Al Baqarah 2:79)

Hari ini sudah dibuktikan bahawa sememangnya terdapat banyak kesalah, penyelewengan di dalam kitab Bible. Pada tarikh 8 September 1957 pengikut Jehovah Witnesses dalam majalah Awake, telah memuatkan sebuah tajuk “50 000 Errors in the Bible?” yang menjadi perdebatan yang hebat di kalangan teologian Kristian. Walau berapa pun angka kesalahnnya, ini menjelaskan bahawa sememangnya terdapat banyak kesalahan di dalam Bible. Secara kesimpulannya ia tidak boleh dijadikan rujukan terkini buat manusia kerana ia telah berlaku penyelewengan. Datangnya al Quran memansukhkan kitab-kitab terdahulu. Oleh itu, al Quran adalah kitab Tuhan yang terakhir menjadi rujukan manusia.

Wallahua’alam

Ikuti kupasan siri yang pertama dan kedua menerusi
http://bit.ly/PerluBeragama1
http://bit.ly/PerluBeragama2

Fitrah Manusia Perlu Beragama Siri 3- Kitab Suci

| Artikel, Uncategorized | 0 Comments
About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>