Salah satu tabiat manusia dalam beragama adalah mereka inginkan sebuah tanda keistimewaan dan keajaiban yang luar biasa melibatkan dengan kuasa Tuhan. Keajaiban itu biasa ditempel kepada tokoh-tokoh mereka seperti memiliki ‘kuasa sakti’ dan seumpamanya. Sebagai contoh jelas yang dapat dilihat di dalam sejarah atau hikayat dalam mana-mana kepercayaan akan memiliki kisah-kisah ajaib yang disandarkan kepada tokoh mereka.

Yahudi:

Kisah atau hikayat bani Israel yang tidak terdapat di dalam kitab Perjanjian Lama dikenali sebagai Israeliyyat. Kebanyakkannya adalah kisah ajaib dan pelik-pelik melibatkan nabi dan rasul mereka. Kebanyakkan Israeliyyat dikelaskan sebagai tidak diketahui statusnya (maskut anhu) dan tidak kurang juga yang bercanggah dengan al Quran & Hadith. Adapun kisah Israeliyyat yang memiliki persamaan dengan wahyu maka ia diterima. Diterima itu bukan disebab di atas nama israeliyyat tetapi disebabkan kebasahan dari penceritaan al Quran dan Hadis.

Muslim:

Kisah-kisah ajaib melibatkan tokoh-tokoh agama khususnya digemari oleh golongan Sufi. Mereka gemar menghimpunkan kisah wali-wali yang memiliki pelbagai karamah yang ajaib. Sememangnya Islam tidak menafikan karamah akan tetapi Islam sangat menekankan soal keaslian dan keshahihan terhadap khabar khususnya apabila ia diceritakan tanpa disiplin ilmu. Kadang kala kisah-kisah tersebut melampau batas malah sering kali digambarkan ‘keramat’ itu melebihi mukjizat Hissi para rasul.

Buddha:

Dalam agama ini juga memiliki kisah-kisah ajaib melibatkan tokoh mereka. Antaranya disusun oleh seorang sami Vajrayana (Tibetan Buddhism) iaitu Taranatha seorang sejarawan buddhis dalam bukunya The History of Buddhism in India. Kisah ajaib tentang perjalanan hidup bikhu-bikhu Buddha seperti Arya Upagupta, Dhitika dan sebagainya.

Sikh:

Di dalam kepercayaan Sikh terhadap kisah Guru Nanak kononnya memiliki tanda keajaiban, seperti ketika Guru Nanak menghala kakinya ke Ka’bah dan dialih ke sebelah lain lalu pintu Ka’bah turut mengikut arah kakinya. Kisah ini terdapat dalam Vaar 1, Pauree 32 – Bhai Gurdaas Ji.

Hindu:

Di dalam agama ini jelas meletakkan segala kisah ajaib ini kepada dewa-dewi mereka dan khususnya kepada Visnu Brahma dan Siva. Ia akan dikaitkan dengan dewa-dewi sepertimana dalam epik Mahabharata dan Ramayana jelas membawa kisah ajaib seseorang individu dengan dewa-dewi. Begitu juga di dalam 18 buah kitab Purana juga mengutarakan kisah-kisah ajaib yang disandarkan kepada dewa-dewi.

Begitu juga di dalam agama lain turut memiliki kisah yang ajaib seperti mitos dan kisah lagenda yang berbentuk ‘keajaiban’. Persoalannya adalah kenapa manusia ini memiliki pemikiran dan sikap seperti itu? Mengapa manusia memiliki imaginasi mengenai tindakan ‘luar biasa’ ini?

Ini kerana perasaan ini juga merupakan fitrah manusia. Islam merai tuntutan ini kerana manusia memiliki pemikiran terhadap sesuatu bentuk yang berkuasa untuk dia memahami Tuhan.

Sebab itu, jika dibaca di dalam al Quran, kaum-kaum terdahulu selalu meminta rasul-rasul mereka untuk membuktikan kebenaran mereka itu melalui perkara-perkara kejadian luar tabi’e seperti membelah bulan dan sebagainya. Ini kerana, manusia memiliki sejenis pemikiran ‘superstitios’ di dalam diri mereka.

Di dalam al Quran, Allah mengkhabarkan kisah nabi dan rasul terdahulu memiliki mukjizat hissi dan nabi Muhammad juga memilikinya sebab itu adalah salah satu tanda kerasulannya. Selain itu, di dalam Islam juga percaya kepada kewujudan karamah wali dan karamah ini berlaku dengan tidak sengaja dan bukan menjadi ‘alat’ keistimewaan tetap bagi seseorang yang dipilih oleh Allah. Antara digariskan adalah karamah wali tidak melebihi mukjizat para nabi. Islam mengisi tuntuan ini dengan garis panduan dan disiplin yang ketat. Walaupun Islam mengakui adanya karamah, ia tidak bermakna dihalalkan untuk orang bermudah me-reka-reka kisah yang tidak benar untuk disandarkan kepada ‘wali dan tokoh’ mereka. Islam mementingkan keshahihan sesuatu khabar sepertimana wujudnya disiplin ilmu hadis.

Persoalan yang mungkin timbul adalah, sekiranya Islam merai tuntutan ini, mengapa pada hari ini sudah tidak ada mukjizat yang boleh ditunjukkan kepada manusia agar manusia dapat beriman kepada Allah? Tidakkah diketahui bahawa mukjizat teragung sentiasa bersama dengan umat akhir zaman iaitu kitab al Quran. Cuba datangkan bukti bahawa al Quran itu bukanlah sebuah hikmah yang ajaib. Ajaibnya itu pada ILMU dan kandungannya. Al Quran adalah kitab yang menuntun intelektual, logik, dan memandu supaya seseorang manusia berada di landasan fitrah yang benar.

Disamping al Quran membawa kisah mukjizat dan keajaiban, ia dilandasi dengan kebenaran dan kriteria para nabi. Ia tidak semudah-mudahnya berlaku dan peristiwa itu akan disandarkan kepada kebesaran Allah dan bukan kepada diri para nabi itu sendiri. Sebab itu, di dalam sejarah, tidak ada seorang pun para nabi disembah oleh masyarakat pada zamannya. Hatta nabi Isa (Jesus) sendiri tidak disembah oleh hawariyyun. Mereka memahami tuntutan itu. Akan tetapi pada hari ini, apabila seseorang itu menunjukkan ‘keramat’ seperti Sai Baba, dan para tokoh sesat, mereka akan membawa kepada kepentingan dirinya.

Perlu diingatkan juga bahawa dengan fitrah manusia yang ‘tertarik kepada keajaiban’ inilah para Iblis, syaitan dan Dajjal juga akan memanafaatkan untuk menarik manusia ke lembah kesesatan. Fitrah ini juga menjadi ujian bagi manusia dan orang beriman. Maka hiduplah berlandaskan kepada wahyu maka kamu akan terselamat daripada fitnah ‘keajaiban’ ini.

Wallahua’alam.

Ikuti kupasan siri yang pertama, kedua, dan ketiga menerusi
http://bit.ly/PerluBeragama1
http://bit.ly/PerluBeragama2
http://bit.ly/PerluBeragama3

Fitrah Manusia Perlu Beragama Siri 4: TANDA KEISTIMEWAAN

| Artikel, Uncategorized | 0 Comments
About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>