Puasa adalah perbuatan menahan diri daripada sesuatu perbuatan dalam suatu tempoh tertentu seperti makan atau minum atau kedua-dua sekali, menahan diri dari bersetubuh serta menghindari dari perkara yang boleh membatalkannya. Perkataan puasa berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘Upavasa’ (उपवास) bermaksud memurnikan diri. Di dalam bahasa Arab pula perkataan puasa adalah ‘Shaum’ (صوم) dan jamaknya adalah ‘Shiam’ (صيام).

Di dalam konteks Malaysia, apabila disebut tentang puasa, semua masyarakat memahami akan tuntuan umat Islam untuk melakukan ibadat puasa pada bulan Ramadhan yang dilakukan oleh majoriti masyarakat di negara ini. Di dalam Islam, Allah mewajibkan manusia untuk berpuasa penuh pada bulan Ramadhan (Surah al Baqarah: 185, hadis Shahih Bukhari no 7).

Amalan berpuasa ini bukanlah amalan baru yang disyariatkan oleh nabi Muhammad, ini kerana para nabi dan rasul terdahulu juga diturunkan kepada mereka syariat berpuasa ini. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al Baqarah: 183)

Dan di dalam Perjanjian Lama mengkhabarkan perintah berpuasa kepada umat nabi Musa:

“ inilah yang harus menjadi ketetapan untuk selama-lamanya bagi kamu, yakin pada bulan ketujuh, pada tanggal sepuluh bulan itu kamu harus merendahkan diri dengan berpuasa.. (Imamat 16: 29).

Nabi Isa ada mengkhabarkan tentang berpuasa di dalam Perjanjian Baru, di dalam Matius 4: 2 mengatakan Isa berpuasa selama 40 hari dan disebut juga pada bahagian lain tentang puasa:

“Dan apabila kamu berpuasa, janganlah muram mukamu seperti orang munafik. Mereka mengubah air mukanya, supaya orang melihat bahawa mereka sedang berpuasa. Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya mereka sudah mendapat upahnya.” (Matius 6: 16)

Walaupun mereka memiliki syariat berpuasa (tatacara dan hari) yang berbeza-beza tetapi ini menunjukkan kronologi puasa itu sudah bermula sejak nabi terdahulu. Malah ibadat ini secara fitrahnya manusia di seluruh dunia akan melakukannya apabila mereka mahu kepada penyucian diri (mengawal kehendak diri).

Puasa Dalam Agama Lain

Sebab itu amalan berpuasa ini sebenarnya terdapat di dalam hampir kesemua agama di dunia ini. Sebagai contoh puasa di dalam agama Buddha dikenali sebagai Uposatha yang dilakukan pada 1, 8, 15 dan 23 haribulan mengikut kalender Buddhis. Begitu juga dalam Hindu memiliki banyak jenis ibadat berpuasa antaranya dikenali sebagai Ekadasi dan ia terbahagi kepada beberapa jenis seperti Utpanna, Moksada, Saphala, Putrada, Sat-tila, Jaya, Vijaya, Amalaki, Papamocani, Kamada, Yogini, Padma dan banyak lagi.

Di dalam Yahudi dan Kristian juga memiliki banyak perintah berpuasa samada di dalam Perjanjian Lama dan Baru. Di dalam agama Yahudi umpamnya mereka memiliki Yom Kippur dan Paskah, Tammuz, Tebet, dan lain-lain. Dalam Kristian pula terdapat anjuran berpuasa seperti Jesus berpuasa selama 40 hari 40 malam seperti dianjurkan dalam Matius 4: 2 dan jenis puasa lainnya.

Agama Baha’i memiliki amalan berpuasa Naw Ruz (Baha’i Naw Ruz) atau Nineteen Day Fast yang mana mereka berpuasa pada 1-19 Mac. Manakala dalam agama Taoisme pula mereka juga memiliki pelbagai jenis puasa dan ia dikenali sebagai Pi Ku. Begitu juga Jainisme memiliki banyak jenis puasa dan mereka memiliki satu jenis puasa ekstream dinamakan Sallekhana atau Santhara yang mana mereka akan berhenti makan dan minum sehingga mati.

Walaupun nama sahaja sama iaitu berpuasa tetapi setiap daripadanya memiliki tatacara yang berbeza. Situasi ini menarik untuk direnungi, kenapa perbuatan berpuasa itu dilakukan di dalam semua agama? Ini menggambarkan bahawa berpuasa itu merupakan fitrah manusia beragama. Manusia yang beragama dapat memahami tuntutan untuk dia mahu menundukan segala kehendaknya (hawa nafsu dan sifat tamak) adalah perlu dengan berpuasa. Ini kerana apabila seseorang berpuasa dengan menahan diri dengan disiplin yang tertentu untuk mendidik hawa nafsu, membangunkan rohani, untuk lebih merasa syukur di atas apa yang mereka ada, dan juga mendidik untuk mereka bersifat jujur dan telus.

Tuhan: Perintah Puasa Dan Ganjaran

Oleh kerana manusia dapat memahami tuntuan berpuasa itu untuk mendidik diri, dan Allah menurunkan syariat dan tatacara yang sebenar untuk memandu bagaimana manusia perlu lakukan untuk berpuasa beserta batas-batasnya. Malah Allah memberi ganjaran yang besar bagi orang yang mengikut perintahnya berpuasa. Seperti mana tanya sahabat kepada nabi:

يَا رَسُولَ اللَّهِ فَمُرْنِيْ بِعَمَلٍ أَدْخُلُ بِهِ الْجَنَّةَ . قَالَ عَلَيْكَ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لاَ مِثْلَ لَهُ

“Wahai Rasulullah, perintahlah saya untuk mengerjakan suatu amalan, yang dengannya, saya dimasukkan ke dalam syurga. Baginda bersabda, ‘Berpuasalah, kerana (puasa) itu tak ada bandingannya..’.” (Shahih Ibn Hibban no 3425)

Oleh itu, sesuatu ibadat yang dilakukan oleh manusia itu hendaklah berlandaskan kepada tuntuan Tuhan, dan ibadat bukan sekadar dibuat dengan mengikut kehendak ‘fitrah beragama’ sahaja kerana agama itu adalah sebuah aturan yang telah diturunkan oleh Tuhan kita semua.

Sebaik mana amalan yang dibuat, tidak akan mendapat balasan sekiranya ia dilakukan bukan disebabkan tuntutan Tuhan sebenar. Walaupun mereka lakukan dengan baik. Analoginya diibaratkan seorang majikan menyuruh pekerjanya membajak tanah mengikut skala yang telah ditentukan. Akan tetapi pekerjanya membajak tanah di sebelah yang lain dan tidak mengikut kehendak majikannya. Setelah dia selesai membajak tanah yang tidak diperintahkannya itu, lalu dia meminta upah kepada majikannya. Persoalannya, adakah majikannya itu akan memberi upah? Sudah tentu tidak. Sama halnya di dalam perkara tuntuan ibadat yang dilakukan, sekiranya ia dilakukan bukan kerana perintah Tuhan yang sebenar maka ia adalah perbuatan yang sia-sia.

Itulah kelebihan melakukan ibadat yang diperintahkan oleh Allah. Ibadat berpuasa bukan sekadar berjaya mendidik diri menjadi lebih baik, malah jika ia disusuli dengan anjuran perintah Allah akan mendapat ganjaran yang besar.

Wallahua’lam

Ikuti kupasan siri yang pertama, kedua,ketiga, keempat dan kelima menerusi

http://bit.ly/PerluBeragama1
http://bit.ly/PerluBeragama2
http://bit.ly/PerluBeragama3
http://bit.ly/PerluBeragama4
http://bit.ly/PerluBeragama5

Fitrah Manusia Perlu Beragama Siri 6 (Puasa)

| Artikel, Uncategorized | 0 Comments
About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>