Kaabah Bukan Kuil Siva: Menjawab 4 Dakwaan Penganut Hindu – Bahagian 1

Tersebar meluas dikalangan masyarakat Hindu mengenai mitos terdapatnya berhala Hindu di dalam Kaabah di Mekah. Hasil daripada itu mereka mendakwa orang Islam menyembah berhala mereka. Berkaitan dengan persoalan umat Islam menyembah Kaabah, kami telah menjawabnya di sini: http://bit.ly/2q53O7G (Adakah Kaabah Berhala Sembahan?)

Malah, selain daripada itu tersebarnya beberapa tuduhan yang tidak berasas dari kalangan ilmuan Hindu sendiri yang mengatakan Kaabah adalah asalnya adalah kuil Hindu yang bernama Kaabalishwaran.
Idea ini dicetuskan oleh seorang penulis Hindu bernama Purushottam Nagesh Oak (P. N. Oak) di dalam banyak tulisannya antaranya di dalam Was Kaaba a Hindu Temple? Malah beliau banyak berhipotesis mengaitkan agama Islam dan Kristian adalah berasal daripada ajaran Hindu. P. N Oak juga mendakwa bahawa agama Kristian pada asalnya adalah agama Veda dengan mengulas etimologi nama agama Kristian pada asalnya dikenali dengan nama Chrisn-nity atau Krishna-Neeti (dengan Oak mendakwa bermaksud “Cara Krishna” atau “Hakim Krishna”). Malah terdapat beberapa hipotesis kontroversi lain yang ditimbulkan oleh P. N. Oak.

Idea yang mengatakan Islam adalah berasal daripada Hindu ini dicetus oleh orang Hindu sendiri. Akan tetapi apabila terdapat muslim Melayu di Malaysia yang menjawab dakwaan ini melalui bukunya, golongan mereka sendiri yang mula membuat laporan polis dan mengecam penulis dengan mengatakan cuba mengubah sejarah.
Hal ini berlaku kerana terdapat salah faham terhadap kronologi Islam, yang mana majoriti beranggapan Islam bermula pada 600 M di tanah Arab sedangkan nabi Muhammad itu sendiri adalah nabi terakhir di dalam Islam. Islam agama yang bermula sejak nabi Adam a.s dan masih diamalkan sehingga sekarang. Islam adalah agama yang tertua, malah Islam juga memiliki rukun iman iaitu beriman kepada Kitab-Kitab dan rasul-rasul terdahulu. Ini bukti perkaitan iman dan aqidah Islam berterusan dari zaman-berzaman.

Oleh itu, di kesempatan ini kami menjawab tuduhan yang dilontarkan oleh mereka terhadap Islam. Ini kerana idea yang mengaitkan umat Islam menyembah Kaabah yang merupakan kuil Siva dan tuduhan mengatakan Islam berasal daripada Hindu ini bukanlah sedikit yang mempercayainya. Kerana ia dikembangkan oleh penulis Hindu lain seperti Yogy Sighal dalam bukunya The Human Trinity, malah termasuk seorang Hindu berpengaruh iaitu Sri Sri Ravi Shankar di dalam bukunya Hinduism and Islam, The Common Thread. Akan tetapi Sri Sri Ravi Shankar telah menarik balik kenyataan beliau terhadap isu ini dan mengaku bahawa dakwaan itu adalah tidak berasas. Baca di: http://www.irfi.org/articles3/articles_4501_4600/do%20you%20knowhtml.htm
Di bawah ini dihimpun dakwaan mereka:

1) Dakwaan yang mengatakan “asal nama Kaabah adalah dari perkataan ‘Kaabalishwaran’ yang mengisyaratkan kepada dewa Siva. Ini kerana terdapat beberapa nama lain bagi Siva antaranya adalah Ishwara. Selain dari nama dikaitkan Siva memiliki simbol bulan sabit di kepalanya dan didakwa simbol itu merupakan simbol umat Islam”.

Jawab:

Perkataan Kaabalishwaran hanya wujud di dalam jurnal perkaitan antara ‘Kaabah dan Siva’ sahaja dan tidak pernah diguna bagi perkaitan lain. Berkenaan simbol bulan sabit adalah simbol Islam, kami telah jawab di dalam artikel sebelum ini:

Jika hipotesisnya semudah itu untuk mengaitkan bulan sabit di kepala Siva adalah tanda Kaabah merupakan kuil Siva, harus mengapa tidak mengaitkan bahawa imej Siva memiliki lembing trisula itu pengaruh dari dewa Greek iaitu Poseidon? atau imej Devil yang sering kali digambarkan syaitan berwarna merah memiliki trisula seperti Siva? Akan tetapi sebagai seorang muslim harus jujur dan tidak akan mengulas hipotesis sebegitu dengan semudah itu.

2) Dakwaan “batu hajarul aswad yang jemaah haji cium itu hampir sama atau sama dengan Yoni daripada Siva lingam. Mereka juga mendakwa bahawa Siva lingam sendiri telah dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam Kaabah”.

Jawab:

Pertama, Lingam bermaksud kemaluan atau simbol bagi Siva. Manakala Yoni pula bermaksud faraj atau kemaluan bagi dewi atau Shakti. Simbol ini terkenal di dalam agama Hindu terutama aliran penyembah Siva. Lingam dan Yoni adalah dua simbol yang diukir duduk bersama yang mana Lingam diukir panjang menegak dan Yoni berbentuk leper dibawah Lingam.

Hakikatnya umat Islam tidak pernah memiliki kepercayaan sebegitu untuk dikaitkan dengan ibadah.

Kedua, batu hajarul aswad di Kaabah itu adalah batu hitam dan diukir dikelilingnya dengan kepingan perak. Bentuk yang terdapat pada hari ini merupakan pahatan perak yang melingkari batu tersebut. Ia tidak memberi simbol apa-apa pun apatah lagi dikaitkan dengan simbol kemaluan perempuan (Yoni).

Ketiga, Lingam Siva adalah kepercayaan baru yang disebut di dalam kitab Smriti dan tidak ada di dalam Sruti. Sruti adalah kitab utama seperti Vedas dan Upanishad. Manakala Smriti adalah kitab-kitab cerita dan sastera yang ditulis pada zaman kemudian iaitu zaman Puranik (bermula sekitar 300 SM). Kisah Lingam Siva terdapat di dalam kitab Siva Purana di bahagian pertama iaitu Vidyeshwar Samhita. Lingam ini juga menjadi bahan suci bagi penganut Hindu. Mana mungkin jika dikatakan ia diletakkan bersama dengan pembinaan Kaabah, sedangkan pembinaan Kaabah lebih awal sebelum ditulisnya kitab Siva Purana.

Dakwaan yang tidak bertanggunjawab apabila mengatakan di dalam Kaabah terdapat Lingam Siva sedangkan jika dilihat di dalam Kaabah ia kosong, tidak terdapat apa-apa simbol atau ukiran seperti berhala yang seperti dikatakan oleh sebahagian ilmuan Hindu. Lihat video ini merakamkan situasi di dalam Kaabah: https://www.youtube.com/watch?v=A031T6QVq5w

Bersambung ke bahagian 2…

 

Kaabah Bukan Kuil Siva: Menjawab 4 Dakwaan Penganut Hindu – Bahagian 1

| Artikel, Islam, Malay, Questions | 0 Comments
About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>