Kaabah Bukan Kuil Siva: Orang Hindu Mendakwa Orang Arab Jahiliah Menyembah Parvathi, Lakshmi dan Saraswati – Bahagian 2

Ikuti bahagian pertama artikel di pautan ini

3) Dakwaan mengatakan “terdapat inskripsi memuji Maharaja Vikramadithya di perpustakaan Makhtab-e-Sultania di Turki yang kononnya membuktikan pengaruh Vedik di Timur Tengah dan mendakwa Maharaja Vikramadithya membina Kaabah”.

Jawab:

Maharaja Vikramadithya adalah raja India yang memerintah sekitar tahun 57 SM. Dalam sekitar 50 tahun sebelum kelahiran Jesus di Nazareth. Mahajara Vikramadithya merupakan penyembah aliran Siva (Shaivisme). Jika dikatakan Maharaja Vikramadithya membina Kaabah, terdapat beberapa kontradik:

a) Ayat al Quran yang mengatakan Kaabah itu dibina semula oleh nabi Ibrahim, firman Allah yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu.” (al Baqarah: 127)

Kehadiran nabi Ibrahim jauh lebih awal daripada Maharaja Vikramadithya. Malah pada ayat ini juga mengisyaratkan tapak Kaabah itu sudah sedia ada sebelum datangnya nabi Ibrahim sebab sudah ada asas-asas tapak Kaabah yang dibina oleh rasul sebelum Ibrahim a.s.

b) Adalah tidak logik sekiranya mereka mengatakan Kaabah asalnya adalah kuil Siva. Sedangkan aliran penyembah Siva ini mula muncul pada zaman pemerintahan empayar Gupta sekitar 320 SM. Sedangkan usia Kaabah itu lebih awal daripada wujudnya mazhab penyembah Siva. Ini kerana sebelum zaman Puranik masyarakat Hindu ketika itu mereka tidak ada pembahagian aliran sembahan samada penyembah Visnu (Vaishnavisme), Dewi (Shaktisme) dan Siva (Shaivisme). Ini kerana pada zaman Vedik (1500 SM-300 SM) mereka tidak mengenal nama Siva kerana di dalam kitab Veda dan Upanishad tidak pernah menyebut nama Siva. Yang ada hanyalah nama Rudra yang dikaitkan dengan Siva. Masyarakat Vedik, mereka banyak menyembah dewa Indra, Agni, Surya dan lain-lain. Setelah berdirinya empayar Gupta (Puranik) maka barulah bermula penyembahan konsep trimurti yang dikenali sebagai Siva Visnu dan Brahma disertakan dewa-dewi di dalam kitab Purana. Oleh itu, agak janggal jika dikatakan dikaitkan usia penyembahan Siva dengan usia Kaabah.

4) Mereka juga mendakwa “terdapatnya konsep penyembahan berhala di tanah Arab sebelum kedatangan nabi Muhammad SAW. Berhala yang feminin seperti dewi-dewi di zaman Arab iaitu Al-Uzza, Al-Lat dan Manat itu seperti Saraswati, Parvati dan Lakshmi di dalam Hindu.”

Jawab:

Setiap kepercayaan politheisme tidak akan terlepas daripada adanya gender terhadap dewa-dewi yang disembah. Hal ini terdapat beberapa faktor antaranya adalah:
a) Imaginasi manusia adalah terhad apabila mereka memikirkan zat Tuhan sehingga mereka akan memasukkan khayalan dan imej seperti manusia kepada tuhan-tuhan mereka. Baca: http://bit.ly/2r2CULh (Adakah Tuhan Berjisim?)

b) Penyembahan berhala akan mengambil semangat tempat dan tidak ada perkaitan di antaranya walaupun setiap dewa-dewi itu memiliki tugas yang hampir serupa walau dari tamadun yang berlainan. Baca : http://bit.ly/2pVvL23 (Sejarah Berhala Di Tanah Arab)

Sekira dikatakan berhala feminin itu sebagai bukti ia asalnya adalah berpengaruh dari Hindu, adakah Ishtar, Aphrodite, Arianhod, Artemis, Athena, Hera, dan ratusan dewi lagi di seluruh dunia dan tamadun itu juga merupakan pengaruh daripada dewi-dewi Hindu? Sudah tentu tidak, kerana konsep berhala dan dewa-dewi itu akan dicipta melalui sikap manusia berkhayalan terhadap tuhan.

Jika dikatakan konsep berhala itu adalah ajaran sebenar Hindu, perlu dilihat semula sejarah perjalanan antara zaman Vedik ke zaman Puranik. Ini kerana terdapat perbezaan ketara di dalam konsep ketuhanan di antara kedua zaman ini. Zaman Vedik mereka tidak dibenarkan membuat berhala atau patung bagi tuhan. Sepertimana disebut di dalam Veda:

“Na tasya pratima asti”
Bermaksud: “Tidak ada rupa buat Tuhan” (Yajur Veda 32: 3)

“Shudhama poapvidham”
Bermaksud: “ Tuhan tidak bertubuh dan suci” (Yajur Veda 40: 8)

“Andatama pravishanti ye asambhuti mupaste”
Bermaksud: Mereka memasuki kegalapan bagi yang menyembah elemen alam (udara, air api, dan tanah), dan terperosok dalam kegelapan yang besar bagi yang menyembah buatan tangan (patung).” (Yajur Veda 40: 9)

Menurut Pramod Chandra, di dalam bukunya The Sculpture of India mengatakan jika dilihat ukiran atau seni pembinaan patung tidak dapat dikesan pada zaman Vedik. Di India, pengukiran patung bermula pada zaman pemerintahan Maurya oleh Raja Asoka. Dan seni pengukiran berhala di India banyak dipengaruhi oleh Hellenisme dari Yunani yang dibawa oleh Alexander The Great.

Persoalan adalah, adakah konsep berhala itu ajaran asal Veda atau ia adalah bentuk baru ditambah oleh orang terkemudian?

Kesimpulan
Tuduhan mengatakan di dalam Kaabah terdapat berhala, atau Lingam Siva adalah tidak berasas. Hal ini berlaku disebabkan terdapat pihak yang tidak mendalami teologi sesebuah agama dengan mendalam tetapi mereka tetap ingin mengulas sehingga terpaksa menafsir agama di luar konteks. Perkara pokok apabila berhadapan dengan sesuatu agama, yang paling penting adalah merujuk kitab suci terlebih dahulu. Ini kerana, autentik sesebuah ajaran itu terletak pada kitab suci.

Umat Islam tidak ada masalah jika ingin dikatakan pada asalnya dahulu kita semua memiliki kesatuan dalam beragama. Akan tetapi setelah datang orang terkemudian mengubah ajaran dahulu sehingga mewujudkan ajaran-ajaran yang jauh menyimpang dan berbeza dari wajah asal. Hal ini disebut di dalam al Quran yang bermaksud:

“Manusia itu adalah umat yang satu. (setelah timbul perselisihan), Maka Allah mengutus Para Nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. tidaklah berselisih tentang kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, Yaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, karena dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkann itu dengan kehendak-Nya. dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” (Al Baqarah: 213)

Di mana setiap zaman diutuskan para rasul untuk menyampaikan risalah tauhid. Akan tetapi ajaran itu menerima perubahan apabila datang generasi terkemudian. Dan Allah menghantar rasulnya sehinggalah diakhiri oleh nabi Muhammad SAW membawa risalah tauhid. Jika dilihat di dalam kitab suci utama Hindu sendiri yang mana kitab kuno ini telah memiliki ayat-ayat persamaan dengan aqidah Islam sepertimana berikut:

1) “Ekam sadvipra bahudhaavadanti”
Dia adalah Esa orang bijaksana menebut-Nya banyak nama” ( Rigveda buku 1: rangkap 164: ayat 46)
2) “Ejad druvapatyate visvvam ekam caratpatatrivisunam vijatam”
Esa dalam segalanya, maharaja dari yang bergerak dan tidak bergerak yang berjalan atau terbang dalam pelbagai ciptaan-Nya” (Rigveda buku 3: rangkap 3: ayat 8)
3) “Mahaad devaanaam asuratvam ekam”
Maha Esa dan Maha Agung adalah yang tunggal gemerlapan” (Rigveda buku 3: rangkap 55: ayat 1)
4) “Ya eko asti damsanaa mahaan ugro abhi vrataih”
Dia yang Maha Esa yang menggagunkan” (Rigveda buku 8: rangkap 1: ayat 27)
5) “Eka Indrah sutapaa visvayuh antar devaan martyamsca”
Tuhan Esa yang menghidupkan segala baik di syurga mahupun di dunia ini” (Rigveda buku 8: rangkap 2: ayat 4)
6) “Ya etam devam ekavtam veda, na dvitya na trtiiyas caturtho napyucyate, naasthamo na nvamo dasamo napyucyate, sa sarvasmai vi pasyate yacca praanati yacca na tamidam nigatam sahah sa esa eka ekavrd ka eva, serve asmin devaa ekavrto bhavanti”
Kepada ia yang mengetahui ini, Tuhan semata-mata hanya satu, tidak ada kedua, ketiga, keempat dia dipanggil. Tidak ada kelima, keenam, ketujuh, dia dipanggil. Tidak ada kelapan, kesembilan dia dipanggil. Dia melihat segala yang bernyawa dan apa yang tidak bernyawa, kepada-Nyalah tenaga penakluk kembali, ia hanyalah satu. Hanya satu, pada-Nya semua dewa hanya satu.” (Athravaveda buku 8: ayat 4)
7) “Ekam eva advityam Brahman”
Tuhan hanya satu, tidak ada yang kedua” (Chandogya Upanishad bab 6 rangkap 2 ayat 1)

Sekira dirujuk di dalam kitab Hindu Sruti seperti Veda dan Upanishad, mereka mengatakan Tuhan itu satu, tidak ada kedua dan ketiga, malah tidak boleh dipatungkan dan tidak boleh diwajahkan.
Akan tetapi apabila memasuki zaman Puranik (300 SM-1000 M), bilangan dewa-dewi semakin bertambah banyaknya. Manakala di dalam Veda tidak pula memiliki jumlah dewa-dewi sebanyak kitab-kitab Smriti seperti Purana, Bhagavad Gita, Ramayana, Mahabhrata, dan lain-lain.
Semoga kita kembali kepada umat yang satu iaitu sama-sama berpegang kepada kalimah yang sama iaitu tauhid dan tidak ada sekutu bagi Tuhan dengan apa-apa pun.

Rujukan
[1] -(2010). Siva Purana, alih bahasa oleh Gede Oka Sanjaya, Penerbit Paramita Surabaya, Indonesia.
[2] Milon Nandy’s (2016). Hinduism In a Nutshell, Percetakkan Ilham, Selangor
[3] Joy Nandy, (2016). Life At An Ashram In India, Percetakkan Ilham, Selangor
[4] Wendy Doniger, (2009). The Hindus: An Alternative History, Penguin Books, USA.
[5] Ernest Mackay, (1948). Early Indus Civilizations, Luzac & Company LTD: London.
[6] Majumdar (1950). An Advanced History of India, yang diterjemahkan 1984 “Bunga Teratai Kebudayaan India”
[7] Pramod Chandra, (1985). The Sculpture of India 3000BC-1300AD, National Gallery of Art,Washington, D.C.
[8] Ahmad Iqram Mohamad Noor, (2017). Yahudi Kristian Hindu Buddha Berasal Daripada Islam? PTS, Selangor.
[9] Dr. H.O.K. Rahmat, (2008). Dari Adam Sampai Muhammad, Pustaka Aman Press: Kota Bharu.
[10] S. W. Jamison dan M. Witzel, (1992). Vedic Hinduism
R&D TEAM MRM

Kaabah Bukan Kuil Siva: Orang Hindu Mendakwa Orang Arab Jahiliah Menyembah Parvathi, Lakshmi dan Saraswati – Bahagian 2

| Artikel, Islam, Malay, Questions | 0 Comments
About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>