Cara Kristian Menafsir Bible & Cara Liberal Menafsir al Quran

Salah satu perkara yang menjadi asas kepada golongan liberal adalah mereka gemar melakukan penafsiran-penafsiran moden yang tidak berlandaskan prinsip usul fiqh dan juga usul tafsir. Ia dikenali sebagai penafsiran hermeneutik yang penggunaannya oleh golongan Kristian dari mazhab Protestan.

Sejarahnya berlaku apabila Kristian denominasi Katolikdituduh mengeksploitasi agama dan menjadikan agama hanyalah urusan kelompok gereja sahaja. Bible tidak boleh dibaca oleh orang awam kerana hanya paderi sahaja yang berhak memahami Bible dan hanya mereka sahaja yang boleh menentukan hukum. Akhirnya golongan yang menuduh denominasi Katolik itu berpecah dan membentuk apa yang dikenali sebagai denominasi Protestan

Hermeneutik tidak sahaja berlaku di dalam agama Kristian. Di dalam tradisi agama Yahudi juga turut terkesan dengan kaedah penafsiran ini terutama penafsiran terhadap kitab Talmud. Ia dikenali sebagai ‘Talmudical Hermeneutics’ dan kaedah ini meluas diguna pakai oleh kalangan Rabbi mereka. Malahan golongan liberal Muslim juga terpengaruh dengan menggunakan kaedah yang sama dalam menafsir Al-Quran & Sunnah.

Sebab itulah terdapat golongan yang mengaku Muslim menentang pemakaian hijab bagi perempuan. Sedangkan hukum memakai hijab bagi perempuan adalah wajib dan tidak ada khilaf di dalam fiqh. Malah isu ini tidak pernah timbul dari zaman Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wa Salam serta para salafussolleh kecuali mutakhir ini penafsiran menyeleweng ini mula masuk ke dalam dunia muslim. Mereka membawa kaedah yang sama dengan hermeneutik dalam membahaskan hukum mengenai hijab. Saluran disiplin ilmu dan prinsip pendalilan sudah tidak diendahkan mereka. Akal didahulukan melebihi naqal (Al-Quran & Sunnah).

Apa Itu Hermeneutik?

Hermeneutik adalah kaedah penafsiran Yunani yang diperkenalkan oleh Hermes untuk menafsir kata-kata Dewa kepada manusia. Kaedah ini menyerap masuk ke dalam Kristian ketika agama Kristian berkembang di Yunani.

Pada awalnya hermeneutik digunakan secara terkawal dan berdisiplin malah golongan Katolik sendiri mengunapakai kaedah ini cuma ia terhad kepada golongan Gereja sahaja. Kaedah hermeneutik ini mengajarkan kepada manusia agar memahami makna yang mahu disampaikan di dalam Bible, kaedah perbincangannya terbahagi kepada empat model umum:

1) literal interpretation,
2) moral interpretation,
3) allegorical interpretation,
4) anagogical interpretation.
Kaedah ini digunapakai untuk memahami teks Bible. Penganut Kristian percaya di dalam teks Bible terdapat perkataan manusia dan juga perkataan Tuhan. Oleh itu mereka memerlukan satu disiplin untuk membezakan kata-kata Tuhan dan juga kata-kata penulis buku dalam himpunan Bible.

Ini kerana kaedah kata-kata tuhan di dalam Bible tidak sama dengan al Quran. Al Quran merupakan kitab yang diturunkan kepada nabi Muhammad dalam bentuk lafzhan wa ma’nan (lafaz dan maknanya) kesemuanya dari Allah dan lafaz itu dikekalkan dengan teks bahasa Arab. Manakala Bible pula adalah buku-buku yang ditulis oleh individu yang berbeza-beza pada zaman yang berbeza. Malah kaedah kata-kata Tuhan di dalam bible berbentuk sepertimana konsep hadis Qudsi dan juga hadis Nabawi di dalam tradisi Islam yang mana mereka mencerita semula apa yang mereka faham daripada sesuatu peristiwa di samping mereka mengemukakan kata-kata Tuhan. Lafaz dari Tuhan tetapi makna dari penulis buku-buku (teks bible) itu sendiri.

Contoh penafsiran hermeneutik dalam Bible

Oleh itu kandungan dalam satu-satu buku dalam Bible itu hendaklah dibezakan antara kata-kata penulis dan juga kata-kata Tuhan. Maka kaedah hermeneutik inilah salah satunya berfungsi untuk membezakan nilai ‘hukum’ diantara kata-kata yang diucapkan di dalam teks itu samada dari Tuhan atau dari penulis, sebagai contoh ayat di bawah:

“Kemudian Yesus datang dari Nazaret di negeri Galilea, lalu Yohanes membaptis Dia di Sungai Yordan. Sebaik sahaja Yesus dikeluarkan dari sungai itu, Dia nampak langit terbuka dan Roh Allah seperti burung merpati turun ke atasnya, lalu terdengar suara Allah “ENGKAULAH ANAK-KU YANG AKU KASIHI. ENGKAU MENYENANGKAN HATI-KU” (Markus 1: 9-10)

Dalam sepanjang ayat ini, lafaz Tuhan hanyalah “Engkaulah Anak-ku yang Aku Kasihi, engkau menyenangkan hatiku”. Manakala lafaz sebelum itu merupakan ulasan daripada penulis teks itu iaitu Markus yang menceritakan situasi tersebut (walaupun dia tidak melihat kejadian itu). Teks penulis tidak dianggap kalam Tuhan. Inilah pemahaman Vatikan (katolik) pada suatu ketika dahulu. Vatikan menolak cara penafsiran literal yang melulu serta melekatkan makna apa saja pada teks Bible.

Pope menyebut “… kita harus menolak penafsiran yang tidak autentik, setiap tafsiran yang asing bagi makna yang diungkapkan oleh penulis dalam teks tertulis. Mengakui kemungkinan adanya makna yang asing semacam itu sama halnya dengan mencabut ajaran Injil dari akarnya, iaitu sabda Tuhan dalam komunikasi sejarahnya; dan juga bererti membuka pintu bagi penafsiran liar yang bersifat sangat subjektif.”[1]

Itulah antara disiplin yang diperkenalkan oleh golongan Katolik dan institusi Gereja sebelum berlakunya revolusi.

Situasi berubah pada abad ke 15 M setelah berlaku satu revolusi agama ke atas Gereja Katolik sehingga melahirkan golongan Protestan yang lebih bersifat liberal. Perkataan Protestan itu berasal daripada perkataan protes. Martin Luther dan John Calvin antara tokoh yang terawal membawa konsep orang awam juga boleh memahami Bible dan ia tidak terhad kepada institusi gereja sahaja. Ini kerana pada pandangan Katolik, Bible hanya untuk golongan gereja (paderi) sahaja dan tidak boleh dibaca oleh orang awam.[2]

Reaksi daripada membalas kongkongan itu, Martin Luther sendiri menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Jerman yang dikenali sebagai Lutherbible. Kerana baginya semua orang berhak membaca dan menafsir Bible. Bermula dari detik itulah kaedah penafsiran ini telah melampaui batas dengan alasan semua orang berhak memahami Bible seperti apa yang mereka faham. Bible mula diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain disamping ia memiliki versi-versi tersendiri. Malah di dalam versi Protestan terdapat pengurangan (tahrif) beberapa buah buku di dalam Bible.

Contoh di dalam Katolik, Bible mereka memiliki 73 buah buku kesemuanya, manakala Bible di dalam Protestan pula mereka mengurangkan 7 buah buku dari 73 dan memiliki 66 buah buku sahaja. Buku yang dikurangkan dari Bible Protestan adalah Tobit, Yudit, 1 Makabe, 2 Makabe, Wisdom of Solomon, Sirakh, Barukh.

Setelah pesatnya berkembang penafsiran hermeneutik, maka terdapat banyak hukum agama telah diubah oleh mereka malah berlakunya penyelewengan maksud daripada teks asal Bible. Sebagai contoh, jika dilihat di dalam Bible, terdapat larangan memakan daging babi antaranya dalam Imamat 11: 7, Ulangan 14: 8 dan Yesaya 65: 4. Ayat ini jelas mengharamkan memakan babi. Akan tetapi menurut kaedah hermeneutik mereka boleh menafsirkan ayat ini dengan beberapa kaedah:

a) Pengharaman babi dalam ayat ini adalah merujuk kepada babi hutan (boar) sahaja dan bukan babi daging (pig).
b) Ayat pengharaman ini diturunkan kepada kaum Yahudi sahaja.
c) Pengharaman babi pada ketika itu (ayat diturunkan) sahaja kerana pada zaman dahulu babi membawa penyakit, tetapi sekarang sudah tidak lagi.
d) Ayat ini mengharamkan babi kerana dalam daging babi memiliki cacing pita dan mikrob yang merbahaya, akan tetapi pada hari ini terdapat ladang organik yang dapat menghindari babi dari membawa penyakit cacing dan mikrob yang merbahaya maka ia boleh dimakan.

Selain itu juga mereka menggunakan hujah melalui mimpi saint Petrus dirakamkan surat Perjanjian Baru:

“Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain lebar diturunkan ke bumi, tergantung pada keempat-empat sudutnya. Di dalamnya terdapat segala macam binatang berkaki empat, binatang menjalar dan burung-burung liar. Lalu ada suara berkata kepadanya, “Petrus, bangunlah! Sembelih binatang itu dan makanlah!”. Petrus menjawab, “Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.” Tetapi suara itu berkata lagi, “Jangan anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah.” (Kisah Rasul-Rasul 10: 11-15)

Berdasarkan pada teks inilah golongan Kristian menguatkan hujah mereka untuk membenarkan memakan daging babi. Menurut mereka binatang yang disebut berkaki empat itu termasuk juga babi yang halal untuk dimakan. Teks ini dirakamkan ke dalam surat-surat yang dihimpun oleh saint Paul yang mana ia jauh ditulis selepas ‘kematian’ Jesus.

Surat-surat ini (termasuk Perjanjian Baru) ditolak oleh golongan Yahudi. Jika diperhatikan, ayat ini tidak menyebut secara spesifik mengatakan babi itu halal, akan tetapi mereka ‘memalingkan tengkuk’ nas itu agar selari dengan penafsiran mereka dan mereka kira mimpi ini memansuhkan hukum Perjanjian Lama.
Ini antara kaedah-kaedah penafsiran hermeneutik yang digunakan oleh penganut Kristian. Walaupun ayat Perjanjian Lama itu jelas mengharamkan daging babi, mereka boleh memusingkan penafsiran daripada hukum asal. Mereka memulas kehendak ayat itu supaya mengikut kehendak mereka. Begitu juga berkenaan dengan suruhan bertudung. Di dalam Bible jelas menyuruh wanitanya bertudung seperti dinyatakan dalam 1 Korintus 11: 5-6, 1 Korintus 11: 10 dan 1 Korintus 11: 12 merupakan ayat yang menyuruh perempuan memakai tudung. Walaupun ayat ini menyuruh memakai tudung tetapi dengan penafsiran hermeneutik, mereka boleh menafsirkan sedemikian:[3]

1) Ayat ini hanya wajib kepada kaum Yahudi sahaja.
2) Hijab yang wajib bukan di kepala tetapi hijab di dalam hati
3) Ayat ini menyuruh perempuan bertudung disebabkan ayat ini turun di padang pasir yang panas, maka ia adalah untuk mengelakkan daripada fosforus cair di dalam otak yang boleh memudharatkan otak dan sekiranya berada di tempat tidak panas maka tidak mengapa sekiranya tidak bertudung.

Selain itu juga, hermeneutik juga membolehkan mereka menghalalkan arak sedangkan di dalam Bible terdapat banyak ayat mengharamkan arak:

“Janganlah engkau minum anggur atau minuman keras, engkau serta anak-anakmu, bila kamu masuk ke dalam Kemah Pertemuan, supaya jangan kamu mati. Itulah suatu ketetapan untuk selamanya bagi kamu turun-temurun.” (Imamat 10: 9)

Dan ayat-ayat lain dalam buku Bilangan 6: 3, Ulangan 29: 6, Hakim-Hakim 13: 4, Efesus 5: 18 dan banyak lagi ayat-ayat lain. Walaupun begitu mereka bebas menafsirkan larangan ini dengan beranggapan arak hanya dilarang untuk kaum Yahudi sahaja, atau arak hanya diharamkan di timur tengah sahaja, dan mereka anggap arak itu boleh diminum selagi tidak memabukkan. Inilah kaedah-kaedah hermeneutik yang mereka anggap menafsir kalam Tuhan.

Kaedah hermeneutik menunjukkan mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan di dalam kitab mereka. Sebagaimana firman Allah Subhanu Wa Ta’ala di dalam Surah At-Taubah 9:31.

Begitulah keadaan ini terus berlalu sehingga sekarang. Malah hukum-hukum lain juga turut terkena tempias hermeneutik dengan disiplin yang tidak teratur. Tidak keterlaluan jika dikatakan hermeneutik moden ini adalah penafsiran yang memuaskan kehendak diri. Hasil daripada kaedah penafsiran sebegitu menyebabkan hukum berubah. Mereka menghalalkan apa yang diharamkan kepada mereka.
Kesimpulan

Jika dilihat golongan muslim liberal, mereka juga menggunakan kaedah yang sama apabila membahas tentang ayat-ayat hukum. Sebab itu tidak hairan apabila terdapat golongan yang membahas ayat al Quran yang jelas menyuruh wanita berhijab dan menutup aurat seperti surah an Nur ayat 31 itu dengan mengulas tafsir logik mereka tersendiri tanpa melalui perbahasan usul dan ilmu tafsir untuk membenarkan wanita tidak menutup aurat.

Mereka ini menyerap kaedah hermeneutik seperti golongan Kristian menafsir Bible untuk diguna pakai ke atas al Quran. Jika dilihat terdapat golongan yang membahas ayat hukum senada dengan golongan Kristian membahas hukum dalam Bible, maka perlulah difahami ia adalah perbincangan dari konteks hermeneutik. Sedangkan jika dilihat kepada struktur kalam al Quran dan Bible itu sendiri sudah jelas jauh perbezaannya. Malah al Quran itu sendiri sudah digarisi oleh ulama Islam tentang kaedah menafsir malah lebih luas daripada kaedah hermeneutik. Disiplin ilmu itu bukan bermaksud al Quran itu hanya difahami oleh agamawan sahaja tetapi disiplin ini adalah bagi manusia untuk memahami kehendak nas dan maksud al Quran itu sendiri.

Semoga kita tergolong dalam golongan yang memahami kehendak kalam Allah dan patuh kepada segala hukumNya.

Nota Kaki:
[1] Lihat Penafsiran Alkitab dalam Gereja: Komisi Kitab Suci Kepausan, hlm 104-108
[2] Lihat Mircea Eliade (ed), The Encyclopedia of Religion, (Chicago: Encyclopedia Britannica Inc, 15th edition): Friedrich Schleiermacher (1768-1834) menyatakan bahawa diantara tugas hermeneutik itu adalah untuk memahami teks “sebaik atau lebih baik daripada pengarangnya sendiri.” Hermeneutik modern yang dipelopori oleh Schleiermacher memang memberi persoalan bagi kalangan Kristian sendiri. Sebab, hermeneutik moden menempatkan semua jenis teks pada posisi yang sama, tanpa mempedulikan apakah teks itu “Divine” (dari Tuhan) atau tidak, dan tidak lagi mempedulikan adanya otoriti dalam penafsirannya. Semua teks dilihat sebagai produk pengarangnya. Penggunaan hermeneutik moden untuk bible boleh dilihat sebagai bahagian dari upaya liberalisasi di kalangan Kristian.
[3] Lihat Edwin Reynolds, PhD, (2013). Biblical Hermeneutics and Headship in First Corinthians, Methods of Bible Study (MBSD), hlm 1-46

Cara Kristian Menafsir Bible & Cara Liberal Menafsir al Quran

| Artikel | 0 Comments
About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>